Skim Anuiti vs Unit Amanah
Mungkin setengah dari kita masih kabur atau kurang jelas tentang perbezaan Skim Anuiti dan Unit Amanah. Sehingga sesetengah pihak menyamakan Skim Anuiti dengan Unit Amanah.
Untuk pengetahuan semenjak 1996, pihak KWSP tidak lagi membenarkan pencarum mengunakan dana KWSP untuk caruman Skim Anuiti. Sebaliknya pihak KWSP membenarkan pencarum mengeluarkan sebahagian dana dari akaun 1 KWSP mereka untuk dilaburkan dalam Saham Amanah/Unit Trust mengikut syarat yang ditetapkan.
Bagi merungkaikan persoalan tersebut saya akan terangkan serba sedikit berkenaan perbezaan Skim Anuiti dengan Unit Amanah. Walaupun saya bukan pakar dengan Skim Anuiti saya akan cuba terangkan serba sedikit mengenainya berpandukan bahan rujukan yang ada.
Skim Anuiti
Untuk mudah difahami, konsep Skim Anuiti adalah berlawanan dengan Insurans. Jika dengan insuran kita membeli premium dengan bayaran berperingkat-peringkat dengan tujuan pihak syarikat insuran akan membayar kita suatu jumlah penuh (lump sum) bila berlaku sesuatu pada kita seperti hilang upaya kekal akibat kemalangan dan kematian biasa (faedah perubatan tidak diambil kira).
Skim Anuiti pula memerlukan kita membuat penuh berperingkat (2 atau 3 kali bayaran) untuk membeli sejumlah unit dengan harapan syarikat anuiti akan membayar kita secara berperingkat-peringkat selepas kita bersara. Dengan kata lain selepas kita bersara, syarikat anuiti akan membayar kita sejumlah wang setiap bulan mengikut peringkat umur sehingga kita mati. Ada persamaan dengan skim pencen (kakitangan kerajaan). Perbezanya skim pencen kita tidak perlu membuat sebarang bayaran untuk menikmati kemudahan tersebut. Satu unit anuiti biasanya berharga RM7,087. Kalau kita beli 3 lot bermakna kita boleh membuat bayaran dengan 3 bayaran. Jadi untuk 3 unit kita perlu membayar sebanyak RM21,261.
Kelebihan Skim Anuiti.
Kelebihan yang jelas tentang skim anuiti ialah kita masih ada pendapatan selepas bersara. Sudah tentu kita tidak perlu risau sekiranya tiada duit simpanan khas untuk bersara.
Kelebihan kedua ialah kita diberi potongan cukai pendapatan sebanyak RM1,000 setiap tahun dengan membeli premium anuiti. Sekiranya kita membayar premium anuiti RM7,087 tahun ini kita akan mendapat potongan cukai sebanyak RM1,000. Bermakna bayaran efektif anuiti kita ialah RM6,087.
Kelemahan Skim Anuiti
Masalah utama skim anuiti ialah pulangan atau keuntungan tahunan yang rendah. Katakan anda membeli 3 unit anuiti pada umur 35 tahun dengan harga RM21,261, anda mungkin mendapat pendapatan tahunan sekitar RM7,200 bersamaan RM600 sebulan dengan pulangan sekitar 5.7% setahun apabila umur anda mencapai 70 tahun. Apabila peringkat umur anda ialah 65 tahun maka keuntungan tahunan skim anuiti sekitar 4.5% maka pendapatan tahunan anda adalah lebih rendah. Harus diingat kadar pulangan 5.7% setahun tadi belum ditolak 3% kadar purata inflasi negara kita. Jika faktor inflasi diambil kira pulangan bersih kita adalah sebanyak 2.7% setahun. Jadi wang RM7,200 tadi akan susut nilainya menjadi RM2,700 sahaja. Maka nilai pendapatan sebenar kita adalah RM225 sebulan. Persoalannya apa yang kita boleh buat dengan wang RM225 sebulan pada 35 tahun akan datang?
Apakah Itu Unit Amanah?
Unit Amanah adalah skim pelaburan kolektif yang diuruskan secara professional dengan mengumpul wang anda bersama wang beribu-ribu pelabur lain dan dilaburkan di kaunter-kaunter berkualiti dalam dan luar negara (bergantung pada jenis dana) demi mencapai objektif yang sama ( memaksimakan keuntungan).
Unit Amanah adalah skim pelaburan jangka sederhana dan panjang. Tempoh yang digalakkan adalah 3-5 tahun bagi tempoh sederhana dan bagi jangka panjang mungkin lebih dari 10 tahun (bergantung pada objektif seseorang individu).
Kelebihan Unit Amanah
- Pakar pengurus pelaburan akan melabur bagi pihak anda.
- Untuk jumlah sekurang-kurangnya RM1,000, anda boleh mendapat kuasa belian bersamaan berjuta-juta ringgit.
- Ini bermakna anda boleh menikmati manfaat sebuah portfolio yang pelbagai dan meluas (mengurangkan risiko pelaburan).
- Kecairan, iaitu anda boleh mengeluarkan pelaburan anda pada bila-bila masa tanpa dikenakan sebarang penalti.
- Pendedahan pada Stok Equiti dalam dan luar negara ( bergantung pada portfolio pelaburan sesuatu dana) bagi memaksimakan pulangan.
- Kos pelaburan yang lebih rendah untuk tempoh sederhana dan panjang.
Kelemahan Unit Amanah/Saham Amanah
- Risiko pasaran turun dan naik. Berita baiknya anda boleh memanipulasi pasaran turun dan naik untuk meningkatkan kadar keuntungan.
- Hilang kawalan pelaburan bila keadaan pasaran berubah. Berita baiknya pengurus dana mengawal portfolio pelaburan anda mengikut kesesuaian pasaran.
- Anda dikenakan fee dan caj yang tertentu apabila melabur dalam Unit Amanah.
- ‘Opportunity Cost’ dengan melabur terus di pasaran saham anda mungkin mendapat keuntungan yang lebih baik dengan risiko pelaburan yang lebih tinggi. (Pastikan kepakaran anda setanding pakar pelaburan yang berpengalaman perpuluh-puluh tahun)
Walau apa pun, perancangan masa depan kewangan anda terletak ditangan kita sendiri. Jadi buatlah perancangan yang terbaik untuk anda.
Terima kasih.
Disclaimer:
Maklumat di atas tiada kaitan dengan mana-mana pihak atau syarikat berkaitan sama sekali. Ia hanyalah pandangan penulis sahaja dan bukanlah maklumat yang disahkan oleh mana pihak/syarikat berkaitan, sila dapatkan maklumat lanjut dari penulis secara terus atau pihak/syarikat yang berkaitan untuk mengelakkan kekeliruan.




Recent Comments